Monday, July 16, 2007

Tingkat Satu: Pengharapan Yang Biasa

Ke hadapan HJ yang diingati selalu,


Assalamualaikum.

Apa khabar awak di sana? Menjadi harapan saya agar awak sihat dan sentosa bersama-sama keluarga yang tercinta. Alhamdulillah, berbanyak syukur buat Tuhan seluruh alam kerana saya juga sihat wal'afiat, gembira dan bahagia bersama kedua ibu bapa dan adik beradik saya. Cuma, kebelakangan ini cuaca agak panas dan anak tekak saya agak satu macam. Mungkin batuk ingin bertandang agaknya. Apa-apapun, awak tidak perlu risau, kerana saya sudah mula mengambil air masak, sekerap mungkin.

Sebelum saya terlupa, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan happy birthday buat awak. Semoga kehidupan awak bertambah baik dan sejahtera, di samping keluarga tercinta. Dan saya doakan agar Tuhan merahmati awak dengan pelbagai kejayaan di masa hadapan. Aamin...

Terasa macam ingin sahaja saya ke Petaling Jaya, membawa bersama-sama saya kek untuk awak. Tetapi saya segan dan kurang keberanian. Pertamanya, saya belum ada kudrat untuk bertentang mata dengan awak. Saya amat pasti saya akan gugup dan tidak keruan apabila bersua dengan awak nanti. Ataupun mungkin saya malu akan dilabelkan sebagai terhegeh-hegeh, bagai perigi mencari timba.

Keduanya, saya tidak tahu lokasi sebenar rumah awak biarpun alamatnya tersemat kukuh di kotak ingatan ini dan rumah awak tidak jauh daripada rumah emak saudara saya.

Dan ketiganya, saya tidak tahu kek kegemaran awak! Biarpun begitu, naluri saya kuat mengatakan bahawa awak sukakan kek coklat. Kalau tidak silap, saya pernah ternampak awak makan kek coklat dengan berselera sekali semasa sambutan birthday kawan baik awak setahun setengah yang lalu. Betul tak?

Jangan lupa awak kata saya, psycho pula! Kebetulan saya melintasi kelas 4 Azam dalam perjalanan pulang ke dorm selepas selesai prep petang. Bukan stalking ya! Sekadar ambil-ambil tahu.

Bercerita pasal birthday, ada apa-apa rancangan untuk meraikan hari istimewa ini? Sudah pastinya, awak akan menyambutnya dengan orang (orang-orang?) tersayang kerana memang lumrah manusia, benda-benda yang baik ingin dikongsi dengan mereka yang dikasihi.

Dan saya harap awak sudi menerima cenderahati yang tidak seberapa daripada saya ini. Sekali lagi, selamat menyambut hari ulang tahun kelahiran daripada saya. Semoga sukses selalu.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ucapan tahniah di atas keputusan SPM awak yang perolehi seminggu yang lalu. Alhamdulillah, Tuhan itu maha pemurah lagi maha penyayang. Biarpun awak menghadapi cabaran dan liku-liku yang sukar, awak masih mampu mencatatkan keputusan yang baik. Tahniah dari saya.

Apa perancangan awak selepas ini? Apakah awak akan meneruskan cita-cita awak untuk menjadi seorang jurutera? Adakah awak akan melanjutkan pelajaran ke Universiti Teknologi Malaysia, seperti mana yang pernah awak war-warkan dahulu?

Saya juga amat bersyukur dengan keputusan yang saya perolehi. Insya-Allah, sekiranya tiada aral yang melintang, saya ingin melanjutkan pelajaran ke luar negara. Buat masa ini, saya berkira-kira untuk memasuki program persediaan ke Jepun ataupun program International Baccalaureate.

Ibu lebih mendorong saya untuk mengambil program matrikulasi sains hayat agar saya boleh mengambil jurusan perubatan nanti. Tetapi memandangkan saya cuma mendapat kepujian untuk subjek Fizik, maka tertutuplah peluang saya untuk ke luar negara atas tiket jurusan perubatan ataupun kejuruteraan.

Salah satu cara untuk saya melanjutkan pelajaran ke luar negara atas biasiswa JPA ataupun MARA ialah dengan mengambil jurusan perakaunan, sains komputer ataupun undang-undang. Ada apa-apa cadangan daripada awak? Hehehe... tidak perlulah awak memeningkan kepala dengan masalah saya pula. Lagi baik awak fokuskan perhatian untuk merencanakan masa depan awak.

Sebelum saya menurunkan noktah muktamad pada warkah ini, izinkan saya memajukan sekali lagi, hasrat hati ini untuk berkawan dengan lebih rapat dengan awak. Sesungguhnya, kehadiran awak dalam dunia saya amat saya syukuri dan hargai.

Akhir kata, salam kasih mesra dari saya buat awak di sana. Assalamualaikum.

RP,Melaka.

Saturday, June 16, 2007

Tingkat Satu: Pengakuan Yang Biasa

Ke hadapan HJ yang diingati selalu,

Tidak sampai 48 jam, saya sudah pun gatal tangan untuk mengutuskan sepucuk lagi surat buat awak. Saya amat pasti yang awak belum pun terima surat saya yang pertama. Jangan-jangan, surat ini tiba serentak dengan surat sulung saya!

Saya juga dapat merasakan bahawa awak mungkin tertanya-tanya tentang identiti pengutus surat ini dan turut tertanya-tanya tentang tujuannya.

Kadang kala, apabila saya ditawan selera hati yang membuak-buak, saya menjadi alpa serta lupa pada adap dan budi bahasa. Maafkan saya, awak! Izinkan saya mula sekali lagi...

Awak, apa khabar? Saya doakan lagi semoga Allah permudahkan hidup dan kehidupan awak. Moga awak sihat dan bahagia bersama keluarga tercinta. Selesa menjalani kehidupan di sana.
Alhamdulillah, saya sihat sejahtera.

Lama sudah saya tidak mendengar suara awak dan lama sungguh saya tidak menatap wajah awak. Rindu betul saya kepada awak. Dan rindu yang kian menebal ini terbawa-bawa hingga ke alam tidur. Santak saya termimpi-mimpikan awak. Betul, sudah empat kali awak hadir dalam tidur saya!

Akan tetapi usahlah awak bimbang. Jangan risau. Saya masih lagi tidur dengan lena di malam hari dan kenyang malam minum di siang hari. Alhamdulillah, mandi saya pun basah.

Sebenarnya, sudah lama saya memendam rasa. Terus terang saya katakan, saya benar-benar suka pada awak. Ya, saya suka pada awak. Cuma saya tidak pasti sama ada setakat suka ataupun sampai ke tahap yang tulus suci. Jikalau ke tahap itu pun, saya redha.

Saya bersyukur kepada Tuhan kerana menemukan saya dengan awak. Sejak hari pertama lagi, saya sudah tertarik kepada awak. Saya masih ingat lagi tarikhnya. Tarikh yang terlekat kukuh di sanubari ini. Bukan sahaja kali pertama saya menjejakkan kaki ke sekolah berasrama penuh tetapi yang paling besar ertinya kepada saya ialah hari pertama mata saya merakamkan satu imej yang indah. Satu gambar yang cantik. Wajah awak adalah gambaran yang indah lagi menyenangkan hati ini. Sekali lagi, syukur saya kepada Tuhan.

Saya tidak kisah sekiranya saya tidak dibenarkan bertakhta di hati awak tetapi izinkan saya untuk meluahkan apa yang terpendam selama ini. Terpendam sejak dua tahun yang lalu. Ya, genap dua tahun semalam!

Saya betul-betul sukakan awak! Pada wajah awak. Pada susuk tubuh awak. Pada perwatakan awak. Pada tingkah laku awak. Teringat saya pada kenangan lalu. Setiap masa dan ketika apabila saya terlihat atau bertembung dengan awak, jantung saya terus bergetup laju. Dan lidah saya menjadi kelu. Nasib baik bibir saya sempat mengukir senyuman. Dan saya harap, saya sentiasa mengukirkan senyuman yang menarik dan indah buat awak. Dan saya juga berharap senyuman-senyuman itu tersemat kukuh di ingatan awak. Hihihi... sekali lagi saya terbuai perasaan.

Malam tadi awak hadir lagi dalam tidur saya. Kali ini awak hadir dengan menjinjing satu beg plastik yang sederhana besarnya. Apabila saya menghampiri awak, cepat-cepat awak hulurkan bungkusan itu kepada saya. Dengan sedikit teragak-agak, saya membukanya. Itu pun setelah saya mendapat isyarat daripada anggukan awak agar membukanya dengan segera.

Rupa-rupanya awak belikan saya dua buah buku. Sebuah novel dan sebuah lagi karya bukan fiksyen. Buku ilmiah saya agak. Novel itu hasil karya penulis kegemaran saya, Azizi Hj Abdullah. Cuma saya tidak dapat tangkap judulnya. Adakah ia Wi & Wiliam? Kawin-Kawin? Ataupun karya terbaru beliau? Saya betul-betul tidak dapat melihat tajuknya.

Buku kedua adalah hasil karangan Samuel P. Huntington yang berjudul The Clash of Civilizations and the Remaking of World Order. Saya belum pernah lagi membacanya tetapi pernah dengar dituturkan oleh salah seorang peserta pertandingan pidato anjuran Jabatan Penerangan beberapa bulan yang lalu. Ya, jelas sekali sebutannya. Samuel P. Huntington. The Clash of Civilizations.

Saya tersedar apabila digerakkan oleh Ibu. Membangunkan saya untuk solat subuh. Saya bangkit dengan beristigfar. Hampir-hampir sahaja saya merungut. Bukan kerana dikejutkan daripada kelazatan tidur tetapi kerana berpisah dengan awak. Syukur kepada Tuhan kerana mengunci mulut saya dariapda mengeluarkan kata-kata yang bisa mengguris hati Ibu. Syukur kerana tidak kurang ajar kepada Ibu. Syukur kerana tidak menderhaka kepada Ibu. Syukur sungguh-sungguh kerana sempat bangun untuk bersolat.

Selepas solat, saya berdoa lagi kepada Allah agar saya sekeluarga sejahtera. Supaya awak sekeluarga sejahtera. Dengan ragu-ragu, saya berterima kasih kepada Allah kerana menghadirkan awak dalam hidup dan kehidupan saya. Biarpun seketika, saya betul-betul berterima kasih kerana sempat mengenali awak. Saya juga bersyukur kerana didatangkan perasaan ini.

Cuma perasaan was-was itu tidak pergi. Apakah halal perasaan yang saya sedang rasai? Adakah ia hanya nafsu semata-mata. Halalkah nafsu ini? Berdosakah saya kerana mempunyai rasa dan perasaan ini. Berdosakan saya, jika benar ia adalah nafsu semata-mata, haramkah saya mempunyai nafsu ini?

Awak, saya betul-betul suka pada awak. Kini saya pasti, sungguh-sungguh pasti. Saya sayang awak. Saya kasih awak.

Seandainya tulisan ini membuatkan awak marah, ampunkan saya. Sekiranya luahan saya ini menggusarkan awak, maafkan saya.

Awak tahu… saya rasa lega sekarang ini setelah berjaya meluahkan apa yang terpendam selama ini. Rasa hati yang tersimpan, kurang lebih, dua tahun lamanya. Saya pasrah sekiranya awak tidak boleh menerimanya, tidak sudi menerima saya. Apa-apa pun, terima kasih kerana sudi mendengarnya. Itu pun sudah besar maknanya pada saya. Sekurang-kurangnya, saya tahu bahawa awak tahu bahawa saya suka pada awak. Awak tahu saya sayang awak. Awak tahu saya kasihkan awak.

Akan tetapi sekiranya awak sudi memberi ruang untuk saya bertakhta di hati awak, tidak tahu bagaimana ingin saya gambarkan kegembiraan saya. Cuma satu janji saya… awak tidak akan saya sia-siakan. Awak tidak akan saya tinggalkan. Bercerai mati sekali pun, saya pinta pada Tuhan agar dibenarkan kita bersatu di syurga nan abadi.

Awak, saya betul-betul sayangkan awak. Terima kasih Tuhan kerana hadir awak dalam hidup dan kehidupan saya.


Yang mencintaimu,
RP, Melaka.

Wednesday, May 16, 2007

Prolog: 101 Perkataan Yang Biasa

Buat HJ yang masih diingati,

Assalamualaikum. Apa khabar? Sihat? Saya doakan awak sentiasa dalam lindungan Allah taala. Semoga awak ceria dan bahagia bersama keluarga tercinta hendaknya.

Hari ini genap dua tahun saya mengenali awak. Masih terbayang-bayang detik pertama saya menatap wajah awak. 10 Januari. Ya, hari pertama saya menjejakkan kaki ke Kolej Sains Malaysia berserta 204 orang pelajar yang lain. Dan salah seorang daripada mereka adalah awak.

Sempena ulangtahun kedua perkenalan ini, saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada awak dalam apa jua bidang yang diceburi. Moga diredhai Allah dengan rahmat, berkat dan kegembiraan yang berpanjangan.


Yang mengingati awak,
RP, Melaka.